Kamis, 07 Juli 2011

Biarkanlah Berlalu

Sarah mendengus sendirian. Panas menggelegak hatinya mendengar hinaan dan cemuhan yang dilemparkan oleh rakan sepejabatnya itu tadi. Pelbagai tohmahan yang diterimanya tanpa sebarang usul siasat, dan pelbagai fitnah yang dilemparkan kepadanya tanpa belas kasihan.

Ini bukan kali pertama, mungkin sudah masuk kali ke sepuluh. Hatinya geram mendengar semua itu, hampir hilang sabarnya namun dipujuk hatinya berkali-kali agar membiarkannya dan memaafkan sahaja rakan sepejabatnya itu.

Teringat dia akan sebuah hadis yang bermaksud:
“Barang siapa memberi maaf ketika dia mampu membalas, Allah akan mengampuni dia pada saat dia kesukaran,”

Terasa sejuk hatinya mengingatkan janji Allah itu. Adakalanya dia terfikir juga, apakah hak rakan sepejabatnya untuk menilai baik buruk dirinya sedangkan Allah yang lebih mengenali dan mengetahui apa yang tersirat di hatinya dan apa yang dilakukannya setiap hari? Mengapa mudah untuk sahabatnya menuduh membabi buta dan bersangka buruk terhadapnya tanpa sebarang bukti?

Dikuatkan hatinya untuk bersabar. Mungkin ada hikmahnya dia ditemukan dengan insan sedemikian. Mungkin Allah ingin menguji kekuatan hatinya, mungkin juga Allah ingin menguji sejauh mana kesabarannya atau mungkin juga Allah menginginkannya untuk menjadi insan yang lebih penyabar.

Sarah tersenyum sendirian. Apapun yang terjadi, dia memilih untuk bersangka baik dengan penciptaNya. Pasti apa yang terjadi itu bersebab, kerana tiada perkara yang berlaku hanya untuk sia-sia. Dan sejauh manapun ujian yang diterimanya, pasti dia akan berusaha untuk menghadapinya sebaik mungkin.

Hakikatnya, tiada insan yang terlepas dari sebarang celaan mahupun kutukan insan yang lain. Manusia tiada mampu untuk mengawal bicara yang dilontarkan orang lain, apatah lagi menutup terus bibir-bibir yang gemar mengata dan mencela segala kekurangan dirinya.

Walau seteruk manapun hinaan dan kutukan yang didengari, jadikanlah ia umpama angin lalu. Biarkanlah ia ditiup bayu dan menjauh dari diri. Biarkanlah ia belayar ke lautan luas dan menghilang dari pandangan dan minda.

Usahlah dibazirkan masa untuk menganalisa setiap kutukan dan hinaan yang didengari . Usahlah dikotorkan hati dengan menyimpan dendam dan usahlah bercita-cita untuk membalas kembali kutukan yang diterima.

Anda tidak akan terhina dengan hinaan dan celaan yang dilemparkan kepada diri, melainkan anda sendiri membenarkan ia dengan melakukan perkara-perkara yang selari dengannya. Anda tidak akan terkutuk dengan kutukan yang dilontarkan kepada anda, selagi anda tiada melakukan perkara terkutuk sedemikian.

Bersabarlah wahai hati. Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyyah ada mengatakan bahawa orang mukmin itu tidak akan menuntut, tidak akan menghina dan tidak akan memukul.

Tuhanmu lebih mengenali siapa dirimu. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang terkandung di dalam hatimu. Tuhanmu lebih mengerti apa sahaja niatmu dan tindakanmu.

Mungkin inilah juga masanya untuk dirimu memperbaharui kembali niatmu yang ada kalanya terpesong dek hanyut dengan kenikmatan dunia yang hanyalah bersifat sementara. Jika kamu melakukan sesuatu untuk manusia, sehingga ke detik terakhir sebelum ditiup sangkakala pun belum tentu dirimu memuaskan hati semua. Niatkanlah setiap gerak gerimu untukNya, pasti kamu tiada akan tergugat sedikitpun jika ratusan memuji, ribuan menghina dan jutaan mengherdik

Usahlah merasa marah dengan kutukan dan hinaan sedemikian, dan cubalah untuk tersenyum tatkala mendengar tohmahan yang begitu menghiris hati. Jangan mudah untuk marah, bimbang ia menguasai diri dan meyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini lantaran bisikan syaitan yang menyelusupi hati.

Usahlah juga disiakan masa untuk menganalisa satu persatu kutukan dan hinaan tersebut dan menyebabkan fokus pada kerja mahupun ibadah kepadaNya terganggu. Sesungguhnya perkara sedemikian tidak layak sedikitpun untuk mengganggu minda. Fokuslah pada perkara yang lebih produktif dan bermanfaat pada diri.

Apapun, bermuhasabahlah terlebih dahulu sebelum menolak sebarang kutukan dan hinaan. Mungkin apa yang didengari merupakan kritikan buat diri dan andai benar ia merupakan kritikan, jangan mudah untuk melenting mahupun menolak.

Bersyukurlah kerana Tuhanmu menyayangimu, yakni segera menyedarkanmu dari lenanya tidur dek hanyut dengan keindahan dunia. Ambillah yang positif dan tinggalkanlah yang negatif. Perbaikilah diri agar hari ini lebih baik dari hari sebelumnya.

Saidina Umar R.A. ada mengatakan "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam, dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam,"

Dan ingatlah, ia bukan tentang siapa yang menyampaikannya namun tentang apa yang disampaikan. Walau siapapun yang menyampaikannya, terimalah ia dengan hati terbuka dan berlapang dada. Anggaplah ini sebagai peluang keemasan untuk menjadi insan yang lebih baik dan pastinya itu lebih dekat dengan Ilahi.

Jadilah seperti pohon. Walau dilempar batu, namun tetap menggugurkan buah-buahan yang ranum dan masak. Walau dilempar seribu satu kutukan dan hinaan, jangan biarkan ia menjadi penghalang bagi diri untuk terus membantu dan berbakti kepada insan yang lain. Harapkanlah balasan dari Tuhanmu, bukannya pujian dari orang sekelilingmu.

“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.” (al-Hadis)

Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekelilingmu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur dengan redha manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan. (Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.